1 Mac 2021 (Isnin) - Susulan pengumuman oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tentang pengoperasian sekolah secara fizikal dan berperingkat pada 19 Februari 2021 didapati semua sekolah telah memulakan operasi termasuk sekolah agama di bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bermula semalam.

Pemantauan pengoperasian awal persekolahan yang dilakukan oleh Sektor Naziran, Bahagian Pendidikan Islam JAIS di beberapa sekolah-sekolah agama di bawah kelolaan JAIS mendapati pihak sekolah telah membuat persiapan yang rapi seperti yang digariskan oleh KPM bagi menghadapi hari pembukaan sekolah. Pemantauan juga mendapati bahawa guru-guru yang bertugas pada hari tersebut telah bersedia lebih awal bagi menyambut kehadiran murid dengan mengambil suhu dan menyembur cecair penyah kuman di tangan pada setiap murid yang masuk ke kawasan sekolah. Murid juga dinasihati supaya sentiasa mengamalkan norma baharu semasa berada disekolah.

Semalam adalah merupakan pengalaman pertama bagi murid darjah satu yang memulakan sesi persekolahan secara fizikal berbanding hanya menjalani pembelajaran secara maya sejak beberapa bulan yang lalu. Murid-murid kelihatan gembira kerana dapat berjumpa guru-guru dan rakan. Tinjauan di kalangan ibubapa juga mendapati rata-rata mereka berasa bersyukur kerana sekolah telah dibuka semula dan teruja kerana dapat menghantar anak ke sekolah biarpun hanya menghantar anak sekadar di depan pintu pagar sahaja berikutan SOP yang tidak membenarkan untuk ibubapa masuk ke kawasan sekolah.

Semalam juga menyaksikan pengoperasian penuh sekolah baru JAIS iaitu Sekolah Rendah Agama Denai Alam, Shah Alam yang terpaksa ditangguh pembukaan sebelum ini disebabkan pendamik.

PEMBUKAAN SEKOLAH NORMA BAHARU SEKOLAH AGAMA NEGERI SELANGOR 2021