25 Februari 2021 (Khamis) – Jabatan Agama Islam Selangor melalui Bahagian Pendidikan Islam telah menganjurkan satu seminar atas talian iaitu Program Ijtimak Nuqaba’. Program yang saban tahun diadakan itu adalah merupakan kali ke-6 yang dianjurkan seumpama itu.

Seminar yang telah berlangsung selama empat jam menerusi live Facebook itu telah menghimpunkan lebih daripada 300 para naqib dan naqibah (ketua-ketua usrah) di Sekolah Agama Menengah (SAM), Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Sekolah Randah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFAI) di seluruh Selangor.

Slot pertama telah dimulakan oleh Timbalan Mufti Negeri Selangor, Ybhg. Dato’ Anhar bin Ophir. Beliau telah berkongsi berkaitan tajuk “Akidah Teras Kemenjadian Murid”. Seminar disambung oleh Puan Sabariah binti Salleh selaku Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah JAIS yang menyentuh berkenaan isu-isu remaja masa kini dan solusi yang bersesuaian untuk mengatasi isu tersebut di peringkat sekolah. Seterusnya slot yang ketiga telah disampaikan oleh Puan Salwana binti Ahmad Dahlan, Timbalan Pengarah Operasi JAIS yang telah berkongsi pengalaman beliau semasa menjadi naqibah (ketua usrah) di zaman universiti dengan membawa tajuk Usrah, Medium Penyelesaian Remaja Masa Kini.

Seminar kali ini telah dirasmikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam JAIS Tuan Anas bin Ayob.

PROGRAM IJTIMAK NUQABA' KALI KE-6 TAHUN 2021