KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH AGAMA MALAYSIA KALI KE-20

PENGENALAN KESSUMA

KESSUMA adalah merupakan aktiviti tahunan bagi Sekolah-Sekolah Menengah Agama Negeri / Rakyat dan  Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Negeri-negeri  yang terletak di kawasan utara dan Barat Malaysia sejak 13 tahun yang lepas. Negeri-negeri  di  selatan semenanjung serta Sabah dan Sarawak menyertai kejohanan tersebut pada tahun 2013. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku penganjur kejohanan ini telah memutuskan supaya kejohanan ini melibatkan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

KESSUMA  peringkat Kebangsaan merupakan program anjuran JAKIM yang diadakan setiap tahun di seluruh negeri di Malaysia mengikut giliran yang ditentukan oleh JAKIM melalui jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Sekolah-Sekolah Agama dan diputuskan dalam Persidangan Ketua-Ketua Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri Selangor.

Kejohanan ini mendapat pengiktirafan dari Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai program kokurikulum di peringkat kebangsaan melalui surat KPMSP.600-7/1/4 (67) bertarikh 7 April 2016.

Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan kali ke-20 tahun 2019 ini dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan Negeri Selangor Darul Ehsan sebagai tuan rumah kejohanan. Kejohanan ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Kejohanan ini terbuka kepada semua pelajar yang bersekolah di Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) sahaja. Bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) hendaklah berdaftar dalam Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI). Manakala bagi pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) hendaklah berdaftar dalam sistem Aplikasi Pengkalan Data Murid (APDM).

KESSUMA edisi ke 20 diadakan di dua lokasi kejohanan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Kejohanan ini mempertandingkan 9 acara iaitu Bola Sepak, Badminton lelaki dan perempuan, Bola Jaring, Sepak Takraw, Ping Pong lelaki dan perempuan  dan Bola Tampar lelaki dan perempuan. Penyertaan atlet seramai 2100 termasuk pegawai bakal memeriahkan KESSUMA kali ke-20  dan terdapat 3 acara pegawai iaitu bowling lelaki dan perempuan, ping pong berpasukan dan badminton berpasukan.

13 buah negeri terlibat dalam kejohanan kali ini  yang diadakan bermula 15 hingga 19 Julai 2019. Semua penginapan pegawai dan atlet ditempatkan di Kolej Keris Mas , UKM Bangi. Kesemua maklumat kejohanan boleh diperolehi di media sosial JAKIM dan JAIS seperti Facebook JAKIM, Facebook Jabatan Agama Islam Selangor dan portal rasmi pendidikan JAIS, pendidikan.jais.gov.my.

 

OBJEKTIF KESSUMA

  1. Melahirkan jaguh sukan di kalangan pelajar sekolah agama di Malaysia
  2. Melahirkan pelajar yang cergas fizikal dan cerdas minda melalui sukan
  3. Meningkatkan semangat kesukanan di kalangan pelajar sekolah agama
  4. Memupuk persahabatan dan silaturrahmi di kalangan pelajar sekolah agama di Malaysia
  5. Memberi peluang kepada pelajar sekolah agama menyertai aktiviti kokurikulum di peringkat kebangsaan yang mendapat pengiktirafan yang sama di sekolah arus perdana.

 

PENERANGAN LOGO KESSUMA KALI KE-20  TAHUN 2019

Logo rasmi kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia

Bentuk bunga yang terdiri daripada 9 kelopak melambangkan 9 acara yang dipertandingkan dalam KESSUMA tahun 2019

Warna Merah kuning merupakan warna rasmi kebanggan negeri Selangor selaku tuan rumah kejohanan

Nombor roman  XX yang melambangkan penganjuran KESSUMA kali ke-20

 

Pengenalan KESSUMA