PERUTUSAN KETUA PENOLONG PENGARAH, BAHAGIAN PENDIDIKAN ISLAM JAIS


Assalamualaikum wbt,

     Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT di atas limpah rahmatNya yang dikurniakan kepada kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasullulah SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat dan para tabiin.

     Alhamdulillah syukur kerana Portal Pendidikan Islam JAIS dapat dibangunkan semula. Terlebih dahulu saya ucapkan Selamat Datang ke Portal Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Selangor dengan motto ‘Menjana Generasi Al Quran melalui Sistem Pendidikan JAIS”.

     Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penyampaian kualiti perkhidmatan kepada masyarakat, portal ini akan menjadikan maklumat Pendidikan Islam JAIS mudah dicapai lebih cepat, tepat dan berkesan. Portal ini sudah pastinya menyediakan maklumat penyampaian perkhidmatan Pendidikan Islam JAIS kepada guru, murid dan orang awam khususnya di Negeri Selangor.

     Diharap usaha yang kerdil ini mampu mengurangkan jurang maklumat antara semua pihak yang mempunyai keperluan terhadap perkhidmatan Pendidikan Islam di negeri Selangor serta menjadi wadah interaksi kerana segala-galanya berada dihujung jari.

     Selain itu, saya juga amat mengharapkan semua warga pendidik JAIS bersama-sama berusaha mendepani pembelajaran Abad ke 21 dengan menanamkan Falsafah Pendidikan Islam JAIS dalam diri, memantapkan pengetahuan ilmu dalam mengimplementasikan Sistem Pendidikan Integrasi Holistik IHES kepada semua-anak-anak kita di sekolah, sentiasa menetapkan matlamat  ke arah membina potensi individu berilmu, beriman, beramal, berakhlak mulia dan berketerampilan secara seimbang dan sepadu berlandaskan Wahyu Allah dan Sunnah Rasulullah bagi melahirkan masyarakat muslim yang bertaqwa, maju, mampu bersaing untuk mendapat kesejahteraan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

     “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Begitulah ajaran  yang perlu diterapkan di dalam sesuatu pentadbiran yang baik sehingga membentuk satu kumpulan yang teguh dalam memberi khidmat terbaik kepada pembangunan sahsiah murid-murid kita dan masyarakat Islam umumnya.

     Akhir kata, semoga portal ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama, terutama dalam mengangkat martabat Pendidikan Islam di Negeri Selangor ini.

Sekian, Wassalam.  

Perutusan Ketua Penolong Pengarah (KPP)