23 Januari 2019 – Sahibus Saadah, Dato’ Haji Haris Bin Kasim, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor telah mengumumkan keputusan keseluruhan bagi Peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) Negeri Selangor tahun 2018 adalah 97.6% di dalam satu majlis pengisytiharan yang berlangsung di Sekolah Agama Menengah Nurul Iman, Kampung Bukit Cherakah.

Tiga buah Sekolah Agama Menengah (SAM) telah berjaya mencatatkan keputusan terbaik 100% lulus iaitu  SAM Bestari USJ Petaling, SAM Jeram Kuala Selangor dan SAM Nurul Iman Petaling. SAM Bestari telah mendapat GPS 1.06, SAM Jeram mendapat GPS 1.48 dan SAM Nurul Iman mendapat GPS 1.48. Tiga buah Maahad Integrasi Tahfis Selangor (MITS) berjaya mengekalkan keputusan 100% dua tahun berurut-turut. Keputusan keseluruhan SMA bagi Sekolah Menengah Persendirian ialah 85.6%.

Bilangan calon yang berjaya mendapat pangkat mumtaz dalam peperiksaan SMA adalah seramai 890 calon (28.3%) dan hanya seramai 73 calon (2.3%) sahaja yang tidak mencapai tahap minima kelulusan iaitu musa’adah. Pencapaian mengikut matapelajaran bagi Al-Qawaed Al- Arabiah (89.7%), Al-Mutolaah Waal-Ta’bir (97.9%), Al-Fiqh (95.0%), Tafsir dan Hadis (93.4%), Tauhid, Tarikh Islam dan Tasawuf (97.2%) dan Tilawah Al-Quran dan Hafazan (99.9%).

Majlis turut dihadiri oleh Yang Berhormat Tuan Mohd Zawawi Bin Mughni, Penolong Exco Hal Ehwal Islam dan Pendidikan Negeri Selangor. Beliau juga telah menyampaikan sijil anugerah kepada tiga belas orang murid dan empat buah sekolah yang cemerlang mengikut kategori masing-masing.

Di dalam majlis yang sama turut diisytiharkan keputusan 100% lulus bagi peperiksaan Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran (SMATQ) dan Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah (SMATD) serta keputusan 99.3% lulus bagi Sijil KAFA Menengah (SKM). Kelas KAFA Menengah SRA Medan Harun telah dianugerahkan Kelas KAFA cemerlang Sijil KAFA Menengah tahun 2018. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai dan jamuan bersama penerima anugerah.

 

Dokumentasi BPI

TIGA SAM MENCATAT KEPUTUSAN TERBAIK SMA