22 Februari 2018 – Seramai 491 orang Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) Negeri Selangor telah diraikan dalam satu majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Guru KAFA Tahun 2017, Meraikan Guru KAFA Bersara dan Jasamu Dikenang 2018 yang diadakan di Banquet Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam.

Majlis bermula jam 9.00 pagi dimulai dengan nasyid Asmaul Husna dan kemudiaannya Perutusan Ketua Penolong Pengarah, Tn. Anas Bin Ayob. Dalam ucapannya, beliau menyeru semua Guru KAFA terus mempertingkatkan kemahiran pedagogi di samping memberikan penekanan terhadap pembinaan insan khalifah dan hamba Allah di muka bumi ini.

Sahibus Saadah Dato’ Hj Haris Kasim dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih di atas pengorbanan Guru-Guru KAFA dalam menjayakan program-program pendidikan dan juga menyarankan semua guru sentiasa meningkatkan ilmu . Majlis diserikan lagi dengan ucapan perasmian oleh YB Dato’ Dr. Hj Yunus Bin Hairi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi yang mewakili YAB Dato’ Menteri Besar Selangor.

Seramai 320 orang guru KAFA menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2017, 93 orang Guru KAFA menerima Anugerah Jasamu Dikenang 2018 Khidmat 25 Tahun , 29 orang Ketua Guru KAFA menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (Ketua Guru) dan 49 orang Guru KAFA menerima Anugerah Persaraan 2018 sempena bersara 60 tahun. Dua orang Penyelia KAFA telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (Penyelia KAFA) iaitu Ustaz Ahmad Asmadi Bin Mohammed Razalli dari Sektor Pengurusan Naziran BPI JAIS dan Ustazah  Aimy Nadiah Binti Shapingi dari Unit Pendidikan Islam PAID Hulu Selangor. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan makan tengahari.

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG GURU KAFA