15 November 2017 – Majlis Pengisytiharan PSRA tahun 2017 telah diadakan di Auditorium Dewan Sultan Abdul Aziz Shah Alam bermula jam 2.30 petang dihadiri oleh YB Dr. Hj. Yunus Bin Hairi, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Sahibus Saadah Dato’ Haris Bin Kassim Pengarah JAIS , Tn. Anas Bin Ayob Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan islam) dan Pegawai-Pegawai Pendidikan dari Ibu pejabat dan daerah. Turut hadir ialah ibubapa dan para pelajar yang dijemput untuk majlis berkenaan.

Sahibbus Saadah Dato’ Hj Haris Bin Kassim dalam ucapannya menyebut bahawa keputusan PSRA 2017  meningkat 1.2% kepada 90.8% berbanding pencapaian 89.6% pada tahun 2016. Peratusan calon Musaadah juga telah dapat dikurangkan 1.1% berbanding 10.3% pada tahun 2016. Majlis penyampaian Anugerah Murid Cemerlang PSRA (terbaik keseluruhan)  telah disempurnakan oleh YB Dato’ Hj. Yunus Bin Hairi kepada Adik Farrahah Binti Mohd Husen dari SRA Batu 13 Puchong dan adik Danial Khan Syahirah Bin Zairi dari KAFAI Baitul Hikmah, Taman Seroja, Sepang.

Dalam majlis tersebut juga, beberapa sekolah mengikut kategori yang ditetapkan telah dinobatkan sebagai Sekolah Cemerlang PSRA antaranya SRA Batu 13 Puchong (SRA Gred A), SRA Al Husna Taman Universiti Indah (SRA Gred B), SRA Parit 11 Timur Sungai Besar (SRA Gred C), SRAI Sungai Manggis (SRAI), KAFAI Al Islah Parit Baru Baroh (KAFAI) dan SRI Irsyadiah Gombak (SRI). Daerah Sepang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Daerah Terbaik PSRA tahun 2017. Tahniah dan syabas kepada semua yang telah berusaha untuk memastikan SRA terus unggul dalam persada pendidikan di Selangor khasnya dan Malaysia amnya.

MAJLIS PENGISYTIHARAN PSRA 2017