Sejarah Pendidikan Islam


Sejarah Sekolah-Sekolah Agama di Selangor.

Sejarah institusi pendidikan Islam di Selangor bermula pada akhir abad yang ke-19. Menurut Frank W.Haines ,Inspektor Sekolah Selangor (1894) melaporkan bahawa terdapat tujuh belas (17) buah kelas al-Quran diwujudkan pada tahun berkenaan. Ketika itu, kelas-kelas ini di bawah kelolaan kerajaan negeri Selangor. Matapelajaran seperti Ibadah, Tauhid dan Akhlak telah ditambah semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, Sultan Negeri Selangor ke-5 (1898-1938). Di zaman baginda Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, sekolah-sekolah agama mendapat restu yang tidak berbelah bahagi daripada baginda sultan.

Baginda Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah telah menubuhkan sebuah sekolah agama perempuan di Kampong Bandar di daerah Kuala Langat ketika era pemerintahan almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah (1857-1898). Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa merupakan Raja Muda ketika itu sebelum menaiki takhta selepas kemangkatan Sultan Abdul Samad yang merupakan sultan pertama di Selangor yang diiktiraf oleh Ruler in Council pada 5 September 1879. 

  

Semasa pemerintahan Sultan Ala'eddin Sulaiman Shah, Madrasah Awamiah (1930) telah ditubuhkan di Kampung Sepintas, Sabak Bernam yang merupakan sekolah terulung di daerah Sabak Bernam. rentetan daripada perisiwa penubuhan sekolah agama rakyat berkenaan, ditubuhkan pula Sekolah Agama Parit Baru pada tahun 1933. Dalam tahun berkenaan juga, sebuah sekolah yang dinamakan Madrasah Marta il Ulum al Diniah telah ditubuhkan di Bandar Diraja Klang. Madrasah Parit Lima Sungai Besar (1937) telah ditubuhkan dan penubuhan madrasah itu merupakan titik tolak pendidikan arab sepenuhnya apabila almarhum al-Sayyid Abdul Azizi al-Syaimi al-Misri telah membuat pembaharuan dengan menggalakkan pelajar-pelajar berbahasa arab. 

Ketika pengunduran tentera Jepun (1946), bilangan sekolah agama semakin bertambah antaranya penubuhan Madrasah Unwan al Saadah di Kanchong Darat , Banting Kuala Langat. Pada tahun 1946, apabila Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, secara tidak lansung pengurusan sekolah-sekolah agama telah ditingkatkan demi memartabatkan pendidikan Islam dan sekolah-sekolah agama di negeri Selangor. Bermula daripada tahun 1946, pihak Jabatan Hal Ehwal Islam telah mula melantik guru-guru agama rendah yang ditugaskan di sekolah agama dari darjah satu hingga darjah lima. Pada tahun yang sama juga, Madrasah Ahliah Othmaniah untuk kaum wanita telah ditubuhkan di Klang yang diasaskan oleh Allahyarham Tuan Haji Othman. Madrasah tersebut merupakan sebuah sekolah arab bagi kaum wanita. Tahun 1948 - 1953 menyaksikan penubuhan sekolah-sekolah rendah agama di daerah Kuala Langat antaranya;

a) Sekolah Agama Kanchong Darat 

b) Sekolah Agama Sungai Lang

c) Sekolah Agama Labohan Dagang

d) Sekolah Agama Bukit Changgang

Pada tahun 1952, setelah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Selangor ditubuhkan, secara tidak lansung pengurusan sekolah-sekolah agama cuba ditingkatkan demi memartabatkan pendidikan Islam dan sekolah-sekolah agama di negeri Selangor. Tahun 1954 menyaksikan tertubuhnya beberapa buah sekolah agama dan arab antaranya;

a) Sekolah Arab di Sabak Bernam (asas penubuhan Maahad Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah)

b) Sekolah Arab Kajang (dikenali Maahad Hamidiah Kajang)

c) Sekolah Arab Putera Puteri Jeram

d) Sekolah Arab Batang Kali

Pada tahun 1960, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melaksanakan dua bentuk aliran persekolahan iaiatu;

a) Sekolah Arab hingga Rabi Thanawi

    Kesemua mata pelajaran/pengantar bahasa dalam bahasa arab  

b) Sekolah Agama darjah Khas.

    Pengantar bahasa menggunakan bahasa melayu dan kitab-kitab jawi karangan ulama di ajar di samping mata pelajaran

    bahasa arab.

Sistem pelajaran agama aliran arab telah dihapuskan pada tahun 1976 manakala sistem pelajaran agama darjah khusus dihapuskan pada tahun 1977 yang menyebabkan terhapusnya sijil "Rabic Thanawi" dan Sijil Darjah Khas Sekolah-sekolah Agama. Ekoran daripada peristiwa berkenaan, pada tarikh 1 Jan 1977, sistem pengajian agama di negeri Selangor telah dibahagikan kepada dua peringkat iaitu;

1) Darjah satu hingga enam (peringkat rendah)

2) Tingkatan satu hingga enam atas (peringkat menengah).

Sistem dua peringkat dilaksanakan hingga kini dengan sedikit perubahan dari segi peperiksaan. Di peringkat rendah ,Peperiksaan Sijil Darjah Enam (SDE) yang diperkenalkan pada tahun 1978, telah digantikan dengan Sijil Penilaian Rendah Agama (1994) dan kemudiannnya digantikan dengan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada tahun 2000. Peringkat menengah juga mengalami sedikit perubahan apabila peperiksaan Sijil Pelajaran Agama yang dilaksanakan ketika tingkatan enam bawah dimansuhkan dengan adanya Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun 2000. Ketika ini, sistem sedia ada dilaksanakan adalah berdasarkan Kurikulum Pendidikan Islam Sekolah Rendah Agama (KPISRA) di peringkat rendah dan Kurikulum Al-Azhar serta Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah di peringkat menengah.

Sumber : Dokumentasi Arkib BPI (yawowsinzai)

 

Sejarah Pendidikan Islam